Kenapa simpan barang kemas di rumah tidak digalakkan? Disini saya ingin kongsi satu berita terkini tentang barang kemas dan rompakan.
Anak saudara kebas barang kemas RM100,000
BALIK PULAU: Niat baik sepasang suami isteri memberikan tempat tinggal kepada seorang lelaki di rumahnya bertukar tragedi apabila pelbagai barangan kemas milik mangsa bernilai lebih RM100,000 dilarikan dalam kejadian di Jalan Sungai Ara 9, Bayan Lepas, di sini, Disember tahun lalu. Dalam kejadian pada 5 Disember lalu, pasangan berusia 53 tahun itu memberikan tempat tinggal selama lima hari kepada suspek berusia 37 tahun yang juga anak saudara mereka.Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pasangan terbabit baru pulang ke rumahnya sebelum mendapati barangan kemas disimpan dalam bilik bernilai RM100,000 hilang.
Beliau berkata, mangsa yang juga pengusaha restoran tidak menyangka niat mereka membantu suspek yang tidak bekerja dibalas kejahatan sebelum membuat laporan polis pada hari kejadian.
Katanya, hasil siasatan hampir sebulan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya akhirnya mengesan suspek kira-kira jam 7 petang Isnin lalu di tingkat bawah sebuah flat di Taman Bendera Jalan Relau/Paya Terubong, dekat sini.
“Polis menemui dan merampas 27 resit kedai pajak gadai sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya.
“Siasatan juga mendapati suspek penagih dan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk memiliki dadah dan samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, semalam.
Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, satu pemeriksaan dijalankan terhadap enam premis pajak gadai di Bayan Lepas, Bukit Jambul, Air Itam, Pulau Tikus dan Lebuh Carnavon dua hari kemudian dan menemui semula semua barangan kemas terbabit.
Menurutnya, siasatan mendapati semua barangan kemas itu dianggarkan lebih RM100,000 dan hasil pajakan dilakukan sejak lebih sebulan mencecah RM90,000.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 25 utas rantai leher, rantai tangan (empat), rantai kaki (dua), gelang tangan (lapan), loket (18), subang (12) dan cincin (12) dan tiada wang tunai ditemui daripada suspek dipercayai sudah dibelanjakan.
“Suspek juga seorang kaki judi dan semua surat pajakan ditemui didaftarkan atas namanya dan masih direman bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti hubungan suspek dengan mangsa serta pembabitan suspek dengan kes lain di daerah ini atau luar daerah.
Conversion Conversion Emoticon Emoticon